Setiap orang yang datang menghampirinya, memeluk dan membisikkan
kata-kata semangat ke telinganya dipandang pelik.
‘Banyakkan bersabar El.’
‘Apa guna nak ratapi lagi El? Orang dah takda. Kuatkan hati tu.’
‘Hidup ni harus diteruskan. Move on El.’
‘Cari pengganti la El.’
‘Anak jiran mak cik bujang lagi El. Nak kenal?’
Elena mengerutkan dahi. Jantung berdegup kencang. Rasa benci
meluap-luap di dada. Ini yang dikhuatirinya. Benda inilah yang menyebabkan dia
tak mahu pulang, menghadap manusia palsu berbibir manis. Mudahnya mulut
berbicara.
Andai kau berada di tempat aku, kau juga akan mencaci diri kau
sendiri kerana bermulut manis berinti racun. Kau takkan faham apa aku rasa. Kau
takkan faham perasaan apabila sebahagian daripada diri kau hilang. Kau takkan
tahu jiwa remuk aku apabila datang dua orang lelaki bersut hitam menyampaikan
berita kehilangan dia, kehilangan separuh nyawa aku. Kau takkan mengerti dunia
gelap yang menyelubungi hidup aku. Kau takkan faham kekosongan yang aku rasa.
Mudahnya kau berbicara.
“Hei, jauh termenung. Nasib tak tembus bulan tu.” Abah duduk di
atas buaian, di sisi anak bongsunya. Elena mencalit senyuman pahit. Kalau dapat
tembus bulan itu, takkan Elena duduk di sini macam orang dungu menampal muka
plastik dan melayan setiap butir bicara orang biarpun telinga tertutup rapat,
tidak mendengar walau sepatah kata.
Abah menebar pandangan ke bulan penuh yang megah memantulkan cahaya
putih ke serata langit gelap. “Kalau abah boleh beli bulan tu, dah lama abah
beli. Kalau bulan tu boleh buat anak kesayangan abah ni senyum macam dulu, abah
sanggup gadaikan semua harta abah untuk beli bulan tu. Nyawa abah pun abah
sanggup.”
Elena menyorotkan pandangan matanya ke wajah yang dimamah usia abah.
“Abah...”
Abah menarik bahu Elena dekat ke dadanya. Dahi anak bongsunya itu
dikucup penuh kasih sayang. “Abah tahu El, abah tahu El sakit. Abah mungkin tak
faham apa yang El rasa sekarang, tapi abah tahu hati anak abah ni sakit. Remuk.
Hati abah pun sakit El, tengok El macam ni.” Suara abah berubah serak dan Elena
terkejut melihat bahu abahnya yang terhinjut-hinjut.
“Abah…” El memusingkan tubuhnya menghadap abah. Air mata yang
berlinangan di pipi abah dikesat lembut. “Abah minta maaf El abah tak mampu
tolong El.” Tangan Elina dibawa ke bibir dan dikucup lama kedua tangan anaknya
itu.
Elena mengetip bibir yang terketar-ketar menahan air mata. “Abah
minta maaf El, abah minta maaf.” Ucap abah tanpa henti. Kepalanya tunduk. Rasa
bersalah yang membebani bahunya tak tertahan lagi. Elena lantas menarik abahnya
ke dalam pelukan.
“Tak abah, abah tak salah apa-apa pun. Abah tak salah.” Elena menggelengkan
kepalanya berkali-kali, mahu meyakinkan abah. Abah mengeratkan dakapannya. Lama
dua beranak itu berdakapan, melepaskan segala duka yang terbuku di hati. Malam
itu, bulan menjadi saksi kesedihan yang selama ini sarat bermukim di dada
Elena.
“El, abah sayang El. Sayang sangat. Tahu?” Abah memaut bahu Elena.
Wajah anaknya itu dipandang dengan rasa kasih yang menggunung. Elena angguk dan
menghadiahkan segaris senyuman nipis untuk abah. “There she is. My baby flower,
bunga Elena.” Abah tersenyum melihat senyuman yang terpateri di wajah anaknya
itu.
“Tak kiralah umur El berapa, El tetap bunga abah. Sampai
bila-bila.” Tambah abah.
Elena tersenyum lagi. Sejak kecil, abah memanggilnya bunga. Kata
abah, sebelum Elena lahir, pokok-pokok di laman rumah yang selama ini tak
pernah berbunga, tiba-tiba berbunga. Bahkan hingga ke hari ini bunganya kekal
mekar mengharum. Abah tak percaya pada tahyul dan khurafat, tapi ketika itu
hati abah sudah utuh dengan rasa cinta kepada anak yang masih dalam kandungan.
Abah yakin, anak yang bakal lahir ini akan menjadi penyeri, pelengkap dan
pewangi dalam hidup mereka sekeluarga.
“Abah nak El janji something kat abah boleh?” Tanya abah tiba-tiba.
Elena memandang abahnya dan menampal muka tanda soal.
“Janji dengan abah, bila hati El rasa sakit, beritahu abah. Tak
kira pukul berapa, abah akan terus datang teman El. Abah mungkin tak mampu
redakan sakit tu, tapi abah boleh teman anak abah ni. Kita sama-sama harungi. Janji?” Pipi Elena
dielus lembut.
“Janji abah.” Elena mengangguk.
~
Elena baru saja selesai mandi apabila pintu biliknya diketuk.
“Minta izin masuk.” Wajah lembut mama terjegil di sebalik pintu. Elena
tersenyum dan mengisyaratkan mama supaya masuk ke dalam biliknya.
“Dah mandi?” Mama duduk di hujung katil. Matanya menjilat wajah
Elena yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala putih. “Baru lepas. Bilik ni
tak berubah langsung ma.” Ujar Elena sambil duduk di sebelah mama.
“Sama macam dulu kan?” Tangan Elena diraihnya. “Sama. Satu benda
pun tak berubah.” Elena memandang bilik yang dihuninya sejak kecil lagi.
Gabungan warna pic kuning dan putih ivory,
warna-warna kegemaran Elena.
Mata Elena mendarat pada bingkai gambar di atas meja belajar.
Gambar kahwin Elena. “El, mama nak beritahu El sesuatu. Mama tak pernah
beritahu sesiapa pun benda ni kecuali abah. Tapi hari ni mama nak El tahu.”
Ujar mama tiba-tiba. Terus sorotan mata Hana beralih pada wajah mama.
“Benda apa ma?” Elena terasa gementar, dadanya berdebar-debar.
Benda apa yang mama mahu ceritakan sehingga wajah mama berubah sampai begitu
sekali. Kelam dan derita. Penuh derita.
Mama menarik nafas dalam-dalam sebelum mula berkata. “Mama kahwin
dengan abah masa umur mama sebaya El. Sebelum abah El, mama pernah berkahwin
dengan lelaki lain.” Elena tergamam. Tak berkelip matanya merenung mama,
mencari tipu helah atau lawak jenaka di sebalik wajah tenang itu.
“Maksud mama, abah..” Elena tak mampu menghabiskan ayatnya. Dia
takut terluka.
Mama menggeleng kepala. “Abah tetap abah El. Jangan risau sayang.
Cuma abah El bukan cinta pertama mama. Cinta pertama mama ialah lelaki yang
mama kahwin sebelum abah El. Dia lelaki pertama yang mama cinta, mama sayang.
Mama kenal dia dari kecil. Dia kawan baik mama. Dia kenal mama dan mama pun
kenal dia. Bila mama masuk kolej, dia lamar mama dan mama pun setuju. Kami
kahwin.” Cerita mama menyelak kembali muka surat sejarah hidupnya dulu.
“Mama bercerai dengan dia ke sebelum kahwin dengan abah?” Tanya
Elena. Rasa ingin tahu membuak-buak. Mama menggeleng sambil tersenyum pahit.
“Dia meninggal dua tahun lepas tu.”
Elena terasa seperti hatinya direntap dan dihenyak kasar. “Mama dah
rasa El apa yang El rasa sekarang ni. Mama dah lalui dulu dari El. Dan mama
tahu anak mama ni mampu hadapinya macam mana mama mampu hadapinya dulu.” Kedua
bahu Elena dipegang kejap.
“Ma.. El..” Elena tak terkata.
Mama menarik Elena ke dalam pelukan erat. “Mama tahu El rasa macam
El dah jatuh dalam gaung gelap. El rasa macam tak boleh bernafas. Rasa kosong.
Rasa lemas. Rasa sesak. Dan El rasa macam sampai bila-bila pun El takkan mampu keluar
dari situ. Tak mampu lari. Terkurung seorang diri, tak mampu pergi tak mampu
hilang. Mama tahu El, mama tahu.”
Terus berderai air mata Elena mengalir dan meruntuhkan benteng yang
selama ini kukuh memagari hatinya. Ini kali pertama sejak dia hilang, Elena
merasakan duka di hatinya berteman. Ini kali pertama dia membiarkan air matanya
mengalir seperti air sungai yang memecahkan batu-bata pecah berkecai.
“Tapi El kena cuba bangun nak. Bangun dan hidup untuk dia. Jangan
lemah macam ni sayang. Mama tak minta El lupakan dia sebab mama tahu dia selalu
ada kat sini. Jadi El jangan takut walaupun dia takda di sisi El. He’ll always
be here.” Bisik mama ke telinga Elena sambil menekup tangannya ke dada anaknya
itu.
“El rindu dia ma. El rindu dia. El rindu sangat…” Air mata Elena
tidak mahu berhenti. Basah lencun baju mama dibasahi air matanya, namun mama
setia mendakap erat dan mengusap kepalanya, membiarkan Elena menangis seperti
anak kecil yang kehilangan bantal busuk. Malam itu, Elena tidur bertemankan
kehangatan mama seperti waktu kecil dulu.
~
Elena melarikan jarinya pada bunga-bunga berwarna-warni yang
ditanam abah di belakang rumah. Bau embun dan haruman bunga semerbak memberinya
satu ketenangan. Elena terus berjalan, menikmati waktu subuh yang nyaman.
Fikirannya melayang terbayang-bayangkan dia.
Dia suka taman ni. Jika mereka bermalam di rumah abah, sebelum matahari terbit,
dia akan berjalan di sekitar taman ini, menyiram pokok dan membersihkan
daun-daun dan bunga-bunga luruh.
“Makin cantik bunga tok ni.”
Serta-merta kepala Elena menoleh dan bibirnya terus mengukir
senyuman lebar saat terpandang wajah Tok Wan, nenek yang dekat di hatinya. “Tok
Wan!” Elena berlari anak mendapatkan Tok Wan. Tubuh kecil neneknya dipeluk
erat-erat.
“Sayang tok ni. Mana menghilang bunga? Tok rindu sangat.” Tok Wan
juga memanggilnya bunga. Atas sebab
yang serupa dengan abah. Elena ketawa kecil. “El pun rindu tok.” Elena
membiarkan Tok Wan mencium pipi dan dahinya.
“Kenapa dah jarang datang bunga?” Tok Wan menatap wajah Elena lama.
Elena sekadar tersenyum lemah. Dia tak tahu apa yang patut dia jawab. “Elena
masih tak dapat lupakan dia? Elena masih teringat-ingatkan Wil? ” Tanya Tok Wan
lembut. Ditarik tangan Elena dan diusap jari-jemari cucunya dengan penuh kasih
sayang.
Elena tersentak. Wil.
Satu nama yang buat hati Elena berdegup kencang. Nama yang dahulu
sering meniti di bibirnya, nama yang selalu didengarinya. Elena hidup dengan
nama itu, nama yang lama terbiar, terkunci dalam memori paling dalam. Satu nama
yang buat hati Elena yang telah mati terkubur, kembali menghirup nafas,
berdegup.
Wajah Tok Wan dipandang lama. Perlahan-lahan Tok Wan melekapkan
kedua ibu jarinya ke pelipis Elena dan menggumam sesuatu dalam bahasa yang tak
difahami Elena.
“Tok Wan? Tok W—” Awan seputih kapas berkumpul membentuk figura
bunga. Elena tersenyum. Tangannya diangkat tinggi, cuba menggapai awan bunga.
Matanya mulai terasa berat. Elena mengelipkan mata beberapa kali.
Dan mata Elena terpejam.
~
“Elena!”
Elena membuka mata. Wajah bimbang Eris menghiasi pandangan. “Kenapa
tidur kat sini?” Soal Eris sambil menarik tangan Elena, membantu adiknya
berdiri. “Tidur?” Kerut Elena. Eris mengangguk. Sesaat kemudian, bibir Elena
terbuka luas. “Tok Wan!” Jerit Elena separuh terkejut. Kepalanya dipusing ke
kiri dan ke kanan. Tiada siapa-siapa melainkan dirinya dan Eris.
“Tok Wan?” Kakaknya itu mengerutkan dahi seperti sedang berfikir. Memori
Tok Wan memegang pelipisnya sebelum dia rebah kembali bermain di layar
fikirannya. “Elena, is this the same ‘Tok Wan’ when you were a kid?” Soal Eris
penuh syak wasangka.
Elena kembali memandang kakaknya. “When WE were kids. Tok Wan
selalu datang bagi kita benih bunga, makanan, air. Kakak lupa?” Tanya Elena
sambil berkerut-kerut. Eris menggeleng kelapa. “El, kakak tak pernah nampak Tok
Wan ni. El yang selalu jumpa dia. Dari kecil. Tapi sejak El dah kahwin, El dah
tak jumpa Tok Wan kan? Kakak ingat El dah tak nampak dia dah.” Eris memeluk
tubuh.
Sejak kecil, Elena sudah berkawan dengan seorang nenek tua yang
dipanggilnya ‘Tok Wan’. Kata adiknya itu, Tok Wan baik. Nenek itu selalu
membantu menyiram bunga-bunga di taman abah. Dan kalau ada biji benih, Tok Wan
akan taburkan dan jaga sampai pokok itu tumbuh segar. Abah dan mama pada
mulanya agak bimbang dengan kewujudan ‘Tok Wan’ namun apabila melihat
kegembiraan yang terpancar di wajah Elena setiap kali dia pulang dari taman
selepas bertemu dengan Tok Wan, kedua orang tuanya tidak berkata apa-apa. Lagi
pun menurut Pak Cik Ibrahim—seorang ilmuan yang arif soal ini, ‘Tok Wan’ tidak
akan mengapa-apakan Elena.
“Lama dah El tak jumpa Tok Wan. Lepas kahwin terus El tak jumpa dia
dah. Tapi hari ni...” Elena teringat pertanyaan Tok Wan.
Elena masih tak
dapat lupakan dia? Elena masih teringat-ingatkan Wil?
Macam mana Tok Wan tahu tentang dia?
~
Elena membuka mata dan memandang sekeliling. Biliknya. Elena berada
dalam biliknya. Sambil memejamkan kembali mata, Elena menarik nafas
dalam-dalam. Bau dia masih ada. Bau sitrus
dan bau kayu manis. Ya bau dia masih
ada. Masih melekat. Pada baju. Pada selimut. Pada bantal. Seolah dia masih ada. Di sisi Elena.
Selepas 30 minit Elena mandi, menyegarkan tubuhnya yang lesu
membantu kenduri di rumah abah, Elena membaringkan tubuhnya di atas katil.
Bantal dia dibawa rapat ke dada. Bau dia semerbak, memenuhi rongga hidungnya,
memutarkan memori manis bersama dia.
Elena mahu berkongsi resah yang menimpa dadanya bersama dia, mahu berkongsi mimpi tentang Tok
Wan yang menghantuinya sejak dari rumah abah, sejak Elena bangun terpinga-pinga
di taman belakang rumah kepada dia.
Elena mahu lihat perubahan wajah dia,
mahu dengar hembusan nafas dia apabila
dia sedang berfikir mendalam, mahu
tahu buah fikiran dia, mahu… ketemu dia.
Wajah Tok Wan dibiarkan pudar dari ingatan dan digantikan dengan
wajah dia. Wajah dia melayari mata Elena, fikirannya, hatinya. Elena tersenyum lega.
Elena akan ketemu dia. Malam semakin
pekat. Elena lena bersama harapan untuk bertemu dia.
~
Rosebud says:
Salamualaikum lovelies <3
ABHT dah khatam, sekarang kita move on pada cerita baru pula ya. Jangan segan untuk komen. sila sila. dialu-alukan. Enjoy! Happy reading :)
ABHT dah khatam, sekarang kita move on pada cerita baru pula ya. Jangan segan untuk komen. sila sila. dialu-alukan. Enjoy! Happy reading :)
Comments
Post a Comment