Skip to main content

Projek 3: H + A = Bahagian 1

Akira
Pagi yang indah. Aku selak langsir. Cahaya suria lembut menyapa retina aku yang baru nak berfungsi. Alunan indah kicauan burung bersahut-sahut seolah-olah memuji keagungan Tuhan yang mengarahkan matahari untuk tunduk patuh. Aku tersenyum melihat Ah Guan, jiran seberang rumah, mencekak pinggang sambil memerhatikan anak anjingnya berlari mengelilingi sebatang pokok kelapa di depan rumah aku. Dah jadi rutin harian Ralph, anak anjing yellow Labrador Retriever kesayangan Ah Guan, untuk bertawaf keliling pokok kelapa tu. Aku syak umi tabur pheromone keliling pokok tu. Tapi Ralph betina, walaupun nama dia jantan. 
Aku membiarkan mata aku melekat pada kecomelan Ralph lagi lima saat sebelum nekad untuk melakukan sedikit senaman ringan. Aku membongkok seperti sedang ruku’, berusaha mencecah lantai. Derup bunyi tulang dipatah riuk menandakan betapa tak fleksibelnya aku di pagi hari. “Adeh.” Aku kembali tegak berdiri. Sekali lagi aku cuba sesi regangan badan, bunyi tulang patah riuk kedengaran lagi. Aku bangun semula. Tak boleh jadi. Aku menuju ke katil dan meniarap. Tangan aku lekapkan ke lantai, menahan beban berat aku sementara bahagian bawah tubuh aku berada di atas katil.
Teknik terbaik untuk melakukan pumping. 5 cukuplah. Lebih-lebih nanti rabak pula urat aku. Selesai pumping aku melompat turun dari katil sambil tersenyum puas. Rasa bangga memenuhi dada. Bukan senang aku nak dapat mood bersenam pagi-pagi. Hari ini saja tiba-tiba datang kesedaran. Mimpi tok nenek kot malam tadi.
Tiba-tiba pintu bilik aku bergendang kuat. Aku menuju ke pintu sambil meloncat-loncat. Urat kaki aku masih separa tegang. Pintu aku buka. Mata aku bergerak dari bawah ke atas. Naufal aku lihat berbaju Melayu siap bersampin. Naufal atau Nao, adik aku, umur dua tahun lebih muda daripada aku. Tapi suka berlagak macam dia abang. Atas alasan, aku lebih pendek dari dia. Memang sejenis adik yang tak makan saman. Mata aku mendarat pada songkok di kepalanya pula. Amboi, siap berkerongsang.
“Kau apahal pagi-pagi lagi dah datang bangang ni?” Aku menggaru rambut yang aku yakin dah sama rupa dengan sarang burung. Muka terkejut Naufal aku pandang penuh rasa jengkel. “Weh kaki, kau minum air ketom he malam tadi?” Soal Naufal dengan mata yang terbuntang luas. Dahi dia berkerut seribu sambil memandang aku atas bawah.
Tanpa fikir panjang, laju tangan aku menyepuk kepala dia sampai tercampak songkok dari kepalanya. “Sakitlah gila!” Tengking Naufal sambil mengurut kepalanya yang bisa kena penangan aku. Padan muka kau. Mulut puaka lagi. “Naufal! Apa tu!” Suara umi dari dalam bilik menegur. Aku menampal senyuman mengejek sambil menyandar pada jenang pintu. Padan muka. Derhaka lagi dengan kakak kau. Selamba panggil aku gila. Naufal berdengus marah.
“Umi, tengoklah sendiri anak dara kesayangan umi ni!” Laung Naufal berapi. Matanya menjeling aku dengan penuh dendam kesumat. Hati aku mulai rasa tak sedap. Pintu bilik umi terbuka dan wajah umi terpampang. Sebaik saja mata umi menangkap kelibat aku yang masih berbaju tidur, satu rumah bergegar dengan jeritan suara umi. Halilintar pun kalah.
“Nur Akira Huriya!!!!”
Satu badan aku menggigil ketakutan. “U-Umi..” Aku terkaku bila umi melangkah laju menuju ke arah bilik aku yang terletak lebih kurang 5 meter dari bilik umi. 5 meter jarak terasa seperti 5 sentimeter. Bayangan umi yang sedang menghala ke arah aku umpama trailer yang memecut laju mahu merempuh aku. Naufal awal-awal dah menjauhkan diri ke dinding, tak mahu dirempuh. Umi terus tarik telinga aku dan mengheret aku masuk ke dalam bilik tanpa belas ihsan. Naufal di luar dah tergelak sakan. Umi melempar jelingan tajam kepada Naufal, sekaligus mematikan tawa setan dia. Aku senyum puas walaupun telinga aku bagai nak tercabut dipulas umi.
“Umi sakit umi sakit...” Rengek aku sambil cuba meloloskan telinga aku dari piatan bisa umi. “Aki sedar tak dah pukul berapa sekarang?” Mata sepet umi kelihatan besar dan bulat. Petanda umi betul-betul tengah marah. Aku mengerling jam berbentuk nombor yang melekat di dinding. “T-Tujuh setengah.” Balasku tersekat-sekat.
“Tahu pun. Habis tu kenapa tak siap lagi ni?” Suara umi dah melonjak naik oktafnya. “Siap pergi mana umiiiii?” Tanya aku semula sambil terjungkit kaki apabila umi menambah tenaga padu pada piatannya. Umi tak terkata mendengar respons aku. Telinga aku dilepaskan. “Pergi mana Aki tanya umi? Pergi mana?” Umi mencekak pinggang. Aku memandang sekeliling. Aku salah tanya ke? Alamak, apa patut aku buat? Nak angguk ke nak geleng? Dah tu, betul la. Nak siap pergi mana? Aku memberanikan diri mencuri pandang umi.
Baju kurung moden biru cair bercorak hijau cair dan dipadankan dengan selendang merah jambu yang tersarung pada tubuh umi menarik perhatian aku. Glamourous sangat mak aku ni dah kenapa? Mata aku mendarat pada wajah umi pula. Menyinga. Tapi baru aku perasan sesuatu, umi bersolek. Tak pernah-pernah umi buang tabiat sampai bersolek bagai. Aku cuba mengingati acara apa hari ini sampai Naufal si anak beruang pemalas tahap puaka itu pun dah bersiap pagi-pagi buta.
Ada kenduri ke?
K-Kenduri.....!!!
O.M.G
Mulut aku ternganga luas. Ingatan aku mula kembali. Aku memejamkan mata sambil tangan kanan aku perlahan-lahan mengetuk kepala. Dalam hati sudah berkajang perkataan bodoh aku tujukan untuk diri sendiri. Umi memeluk tubuh. Sebelah keningnya dijungkit dan senyuman sinis mula terukir di bibirnya.
“Aki lupa?” Umi menjegilkan matanya. Aku mengangguk sekali, lambat-lambat. “10 minutes Aki. I give you 10 minutes to get everything done. Fyn dah lama tunggu kat bawah tu.” Umi menayang kedua tangannya ke muka aku. “Fyn?” Aku memandang umi separuh gembira separuh cemas. Fyn merupakan teman main guli, teman main police and thief, teman kena rotan dan teman sama ponteng solat Asar masa di sekolah agama dulu. Aku, Fyn dan Erika. Tiga sekawan, tiga ekor naga. Perangai macam setan. Tapi itu dulu, masa zaman jahiliah. Sekarang, insya Allah, dah molek sedikit dah perangai. Tak setan sangat.
“Yelah. Ada Fyn lain lagi ke?” Soal Umi masih membiarkan kerutan berlipat di dahinya. “Ada. Fynn Jamal.” Balas aku selamba. Umi berdesis geram. Tangan kanannya diangkat tinggi, berkira-kira mahu menghempuk kepala aku. Namun sesaat kemudian, umi menurunkan semula tangannya. Sayang untuk aku masih menebal di dadanya.
“Dia dengan Erika tu. Umi tak kuasalah nak make up muka Aki. Jadi macam badut, lari bakal menantu umi nan—” Kata-kata umi terbiar separuh jalan. Matanya melirik ke arah katil aku dan kemudian ke seluruh bilik. Aku berani bersumpah aku nampak asap keluar dari lubang hidung umi ketika itu.
“Aki, lagi berapa jam je lagi Aki akan jadi isteri orang, and you can’t even make your own bed! Look around you! Macam tongkang pecah! Tikus pun tak sampai hati nak jejak kaki dalam bilik ni!” Sekali lagi satu rumah bergegar. Aku kagum macam mana tingkap bilik aku mampu bertahan, tak pecah berderai dengan frekuensi suara umi. “Aki kemas nanti ya umi. Umi keluar dulu, bagi Aki mandi siap semua. Kata 10 minit kan? Ha umi keluarlah cepat.” Aku menarik lengan umi dan menolaknya keluar dari bilik aku.
Umi menjeling aku tajam. “I mean it Aki!” Aku mengangguk. “Ya nanti Aki kemas umi.” Aku cuba menyakinkan umi tapi bila tangan umi kejap memegang kedua bahu aku, aku terkesima. Alamak, pegang bahu. Dah mula dah. Mula dah sesi dari hati ke hati umi... “Aki, Aki akan jadi isteri orang. Aki kena belajar jadi seorang wanita Aki. Aki bukan budak kecil lagi. You’re going to be someone’s wife and someday, you’re going to be a mother. Aki, banyak Aki kena belajar sayang. Ya Allah, macam mana anak aku ni nanti?” Pipi aku diusap lembut. Jelas di wajah umi tergambar betapa hebatnya kerisauannya. Aku menarik senyum nipis.
Wajah umi yang dah berkaca matanya aku tatap dalam-dalam. “Umi..” Tangan umi yang mengusap lembut pipi aku, aku pegang erat-erat. “Aki, umi tahu deep down Aki tak sedia nak nikah. Umi tahu Aki belum puas hidup single. Tapi sayang, bukan semua benda yang kita rasa bagus itu baik untuk kita dan bukan semua yang kita rasa tak bagus tu tak baik untuk kita. Aki faham tak apa yang umi cuba sampaikan?” Lembut umi bertanya. Aku merenung anak mata jernih umi.
“Mana umi tahu pernikahan ni baik untuk Aki?” Aku bertanya dalam keraguan. Umi menggeleng kepala. “Umi tak tahu. Tapi umi yakin dia lelaki terbaik untuk anak umi ni.” Kepala aku diusap penuh kasih. Aku menarik senyum tawar. “Umi dapat mimpi petunjuk ke apa ni?” Aku cuba berjenaka, nak hilangkan suasana yang semakin sedih. Umi tergelak kecil. Yes, berjaya!
“Hei jangan main-main dengan instinct umi tau. Dah pergi siap cepat.” Tubuh aku dipusingkan dan umi menolak aku masuk ke dalam bilik. Aku tergelak sambil mengangguk sebelum mencapai tuala. Wajah umi aku pandang penuh rasa cinta. Instinct umi memang dahsyat. Kalau dia kata jangan, baik dengarkan saja. Kalau dia kata okay, insya Allah okay la itu. Aku tarik nafas dalam-dalam.
Ikhlaskan hati kau Aki, ikhlaskan hati kau.
-
Fyn menyolek aku dengan penuh ketelitian dan fokus. Jawab Kalkulus pun tak fokus macam ni. Aku mencuri pandang wajah aku di cermin. Hm, boleh tahan. Berbakat besar rupanya si Fyn ni. Sedikit pun aku tak rasa terbeban atau stres dengan teknik solekannya. Erika, kawan baik aku dunia dan insya Allah akhirat, sibuk merakam ragam aku sepanjang sesi bersolek dan berdandan.
“Alhamdulillah, siap dah. Ya Allah Aki, cantiknya kau. Senang kerja aku solek kau. Semua dah perfect. Tinggal nak touch up sikit je.” Puji Fyn sambil membetulkan veil di kepala aku dengan cermat.
Aku menggeleng serius. “Kau jangan puji aku lebih-lebih Fyn. Riak takabur aku nanti.” Ujar aku dengan muka lurus. Fyn dan Erika gelak habis. “Tak sangka kau kahwin dulu weh. Punyalah kitaorang bet kau manusia terakhir kahwin antara kita.” Erika dengan selambanya mengutuk aku. Fyn yang sedang pegang bulu blusher turut sama mengangguk, setuju dengan kata-kata Erika.
“Kuajak la hangpa ni!” Aku mengetap gigi sambil meninggikan oktaf suara. Fyn menepuk lembut pipi aku dengan bulu blusher, menyuruh aku jangan banyak bergerak. Rosak hasil karya agung dia nanti. Aku menjeling sakit hati. Karya agung hang! Ingat aku ni apa? Tanah liat.
“Berdebar tak weh?” Tanya Erika sambil zoom lensa kamera ke muka aku.
Aku menepis lensa kamera DSLR yang dah fokus pada lubang hidung aku jauh-jauh. “Kau ni Eri, aku sepak laju-laju kang. Tak payahlah zoom lubang hidung aku!” Herdik aku. Banyak-banyak tempat, lubang hidung aku juga dia nak fokus. Erika ketawa besar. “Cepatlah jawab. Dup dup tak dada tu?” Dadanya ditepuk-tepuk sambil muka dia teruja menunggu jawapan. Aku menjulingkan mata yang dah terasa berat semacam. Mana tak berat, eye shadow saja dah berkilo Fyn tepek pada alis mata aku. Nasib baik aku reject pakai bulu mata palsu, kalau tak, ada nanti tak terangkat kelopak mata ni.
“Cuba bayangkan kau ada dalam kasut aku.” Aku bercakap tanpa menggerakkan bibir dan badan aku (ventrilokuism). Teknik yang aku dah mahirkan dari zaman sekolah lagi. Sangat berguna bila nak mengutuk orang. Mata aku mengerling Erika yang setia merakam segala aksi aku. “Confirm berbuih mulut aku weh kalau ada dalam kasut kau.” Balas Erika pantas sambil buat bunyi muntah. “Muntah hijau weh. Bau bangkai pun wangi kalau banding dengan kasut dia. Baik kau warning suami dia Eri. Boleh gaduh lelaki bini nanti.” Tambah Fyn tak nak kalah. Aku berdesis. Wah, seronoknya korang berduet kenakan aku.
“Seriuslah korang, aku muda lagi kot. Baru nak rasa hidup sebagai mahasiswa.” Rintih aku lemah. Usikan diaorang tak aku endah. “Kentot kau la baru nak rasa hidup sebagai mahasiswa. 3 tahun berfoya-foya sakan kat UiTM tu apa dia?” Tempelak Erika sambil menayang muka menyampah dengar rintihan aku. “Weh aku student okay.” Aku cuba mempertahankan diri.
“Student la sangat. Kau budak Master je pun. Standard la kahwin. Bersepah je students kahwin sekarang. Undergrad ke postgrad ke, ramai je weh dah kahwin. Kau ni kira up-to-date apa, follow trend kahwin awal. Nanti jadi mummy slash student. Comelnya!” Balas Fyn sambil pejam mata membayangkan wajah anak-anak aku nanti. Aku tak mampu menahan mimik jijik wajah. Mummy? Oh tidaaaaak. Aku menggeleng laju.
“Kau nak risau apa? Bukannya kau tak suka kat dia. Kau suka dia kan?” Erika bertanya sambil membelek wajah aku sedang ditampar Fyn di skrin DLSR. Aku menjulingkan mata ke atas. “Memanglah aku suka dia. Tapi, kitaorang bukan bercinta bagai. Plus aku tak puas enjoy lagi.” Keluh aku berat. Bahu aku jatuh kerana keberatan keluhan aku. Fyn dan Erika memandang aku dengan rahang jatuh.
“Kau  nak enjoy sampai bila? Sampai umur 70? Sampai dada dah melayut ha?” Herdik Erika beriya. Aku mengetap bibir. Yelah, ada betul juga kata dua orang ni. Aku dah puas berjimba sewaktu belajar di UiTM dulu. Sekarang, saat umur suku abad, agaknya memang waktu untuk aku settle down.
Pintu bilik aku terkuak. Naufal dengan muka masam mencekak pinggang merenung aku. Matanya terbeliak dan mulutnya sedikit terbuka. “Kaki!” Panggil adik aku dengan nada terkejut. “Apa dia loghat? Kau nak apa menyibuk kat sini?” Aku memandangnya dengan ekor mata. Tak berani nak gerak lagi. Tak sanggup ditepek Fyn. Nampak saja kurus, tapi tenaga sekawan lembu dia ni.
Naufal melangkah masuk ke dalam bilik. Sempat tangan kanannya diangkat menyapa Erika dan Fyn. “Suami Aki dah sampai kat masjid. Umi dah berlecak ketiak tunggu tu. Dah siap ke belum ni?” Naufal berdiri di depan aku sambil mencondongkan tubuhnya, nak tengok muka aku dengan lebih dekat.  Nak kira berapa banyak liang blackheads aku la tu. “Kuasa make up betul mampu ubah monster jadi Cinderella.” Satu statement yang sangat kurang ajar dan tidak beradab daripada Naufal. Aku menggigit bibir bawah. Tak guna punya adik. Panjang lebar aku menyumpah dia. Naufal tergelak sakan.
“Muka je ayu, mulut mengalahkan longkang. Kesian bakal suami kau, kaki.”
Serius, kalau dalam badan Naufal, tak mengalir darah yang sama mengalir dalam badan aku, memang dah lama aku jahit mulut dia! “Nao, sebelum Aki baling heels 3 inci ni kat muka hang, baik hang berambus.” Desis aku sambil menjegilkan mata. Naufal macam biasa tak heran langsung dengan gertakan aku. “Macamlah orang tak boleh elak bila dia baling barang. Anyway kaki, cepat sikit siap. Kesian suami kaki dah tunggu tu.” Wajah aku dipandangnya untuk beberapa saat sebelum tiba-tiba dia melakukan sesuatu yang luar alam—dia mengusap pipi aku. Fyn, Erika dan aku tercengang. Aku memandang Naufal pelik.
“Kau apahal usap-usap pipi aku ni? Mental he?” Soal aku jengkel. Naufal ketawa besar. “Takdalah. Nao still kagum dengan kehebatan make up. Tak sangka monster macam Aki boleh jadi normal macam ni.” Habis saja ayat Naufal, terus kepalanya dipelangkung Erika dan Fyn serentak. “Kau kalau nak kacau kakak kau, takda hari lain ke nak pilih? Hari ni hari bersejarah dia tahu tak? Boleh masuk buku teks sejarah sekolah kau tahu tak! So kau jangan nak spoil kan he. Faham tak Naufal?” Jerkah Erika menyinga. Side burn Naufal ditarik sebagai denda. Aku tergelak besar. Rasakan kau!
Naufal terkebil-kebil. “Faham, Kak Eri... Adeh deh!”
“Cakap sorry kat kaki.” Arah Erika. Aku menahan senyum. Muka dingin aku pasang. “Sorry.” Naufal mengerling Erika yang kekal dengan gaya samseng dia. “Cakap kaki cantik.” Arah Erika lagi. Naufal menjulingkan mata. “Perlu ke?” Tanya dia mula rasa jengkel. Erika membuntangkan mata. Lagi tinggi side burn Naufal ditarik sampai terjungkit kaki budak tu. “Yelah. Kaki cantik!” Jerit Naufal tak mampu menahan sakit. “Good. Sekarang boleh blah.” Erika menolak adik aku keluar dari bilik tanpa belas kasihan. Aku tergelak sakan. “Eri, you’re the best!” Aku menarik kawan baik itu ke dalam pelukan. “Dah, dah kesian kat Encik Hubby kau tu. Fyn, let’s do this! Aki, ready?” Erika dan Fyn memandang aku serentak.
“Bismillahirrahmanirrahiim.” Bisik aku perlahan.
Hadi
Refleksi wajah aku di cermin aku tenung bagai nak tembus kaca. Less than one hour I’m going to be someone’s husband. Husband. Terasa berat bahu ni saat satu perkataan itu bergema dalam kepala. Suami. Satu jawatan aku rasa lagi tinggi pangkatnya dari CEO, lagi besar amanah yang perlu dipikul dari Perdana Menteri, lagi dahsyat tanggungjawabnya dari seorang Imam. Dah bersedia ke aku nak galas semua itu? Mampu ke aku nak jadi seorang CEO / Perdana Menteri / Imam serentak?
Aku tarik nafas dalam-dalam. Sampin yang tersemat kemas membaluti pinggang, aku perkemaskan lagi. “Hei, nervous ke bro?” Bahu aku dipegang. Aku menoleh. Senyuman kera sumbing Ridhwan menghiasi pandangan. Keningnya terjungkit-jungkit menyakat. Aku menjulingkan mata.
Ridhwan, teman sebilik sewaktu belajar di Ireland dulu. Hari pertama kami berjumpa terus kamcing, sebab satu kepala. Dia budak Medik tapi perangai sedikit pun tak macam tipikal budak Medik. Prinsip ‘Belajar dan terus belajar’ tiada langsung dalam kamus hidupnya. Perangai dia dulu macam haram. Setan pun terinspirasi. Tapi tu dulu. Sekarang dia dah berubah. Dah jadi manusia.
“Taklah. Sedih.” Balas aku sinis sambil kembali memandang refleksi wajah aku di cermin. “Aku faham, zaman solo memang best bro. Memang sedih nak tinggalkan zaman kegemilangan kita. Nak nak orang macam kau, petik jari, beratur awek datang kan. But believe me mate, being a husband and later, a father, you couldn’t ask for more.”
Aku memeluk tubuh, memandang Ridhwan lama. Teringat perjalan hidup Ridhwan semasa di negeri berlitup salji itu. Macam-macam dia tempuh. Fuh, Allah saja yang tahu betapa dahsyatnya dia dulu. Dan sekarang, alhamdulillah, hidup dia senang, boleh dilabel berjaya. Kerja sebagai seorang pakar bedah dan dah pun berkahwin dengan, bak kata Ridhwan—bidadari bermata cantik dia, Iman. Isteri dia junior kami masa belajar dulu. Sekarang Iman tengah sarat mengandung anak kedua mereka.
Tanpa aku sedar, bibir aku menguntum senyum. “Apasal kau pandang aku macam tu? Tak sanggup nak tinggalkan aku?” Ridhwan menjungkit sebelah kening. “Banyaklah kau. Weh, Iklil mana? Rindu aku dengan si kenit tu.” Aku dah terbayang pipi tembam anak sulung Ridhwan yang baru menginjak usia 2 tahun lebih. Nur Iklil. Cahaya bunga.
Serta-merta wajah Ridhwan berseri. Senyuman melebar di bibir dia. Ridhwan memang pantang kalau nama anak dia dipetik. Dia punya gembira, melangit. Iklil memang ratu hati, intan berlian, kasut, payung, permata hati, hempedu si Ridhwan ni. Pernah dia cakap, dia risau andaikata kasih sayang dia untuk anak kedua nanti tak sama dengan kasih sayang dia untuk Iklil. He loves Iklil too much. Tapi aku yakin, nanti bila dah lahir anak kedua tu, secara automatiknya kasih sayang itu akan hadir sendiri. Insya Allah.
“Iklil lepak dengan mama dia. Ha lupa pulak, Iman sampaikan salam. Dia ada kat luar tu.” Balas kawan baik aku tu. Aku terangguk-angguk sambil menjawab salam Iman. “Iklil dah pandai apa dah?” Aku bertanya lagi. “Masak menjahit semua dah hebat dah.” Jawab Ridhwan selamba. Aku malas nak layan loyar buruk dia. Terus aku pusing badan aku membelakangkan dia. “Hek eleh kau ni. Makin nak nikah makin sensitif. Hati besar kuman. Aku nak hilangkan darah gemuruh kau je. Okay, Iklil dah pandai baca doa makan, doa tidur. ABC, nursery rhymes semualah.” Ridhwan bercerita bangga. Aku tersenyum lebar. Dapat aku bayangkan betapa comelnya budak tembam tu menadah tangan sambil baca doa.
“Okay bro. Sekarang, kau banyakkan istighfar, selawat bagai. Baca doa belajar sekali, mintak Tuhan hilangkan kekakuan kat lidah kau. Malu woi kalau akad nikah lebih dari sekali. Aku yang bebal ni pun sekali je. Takkan kau yang cerdik ni dua tiga kali kan?” Pesanan Ridhwan lagi menambahkan gemuruh di dada aku. Terasa menghempas rusuk jantung.
“Rid, how do I look?” Aku segera menukar topik, mengalihkan perhatiannya. “Confirm Aki tak renggang dari kau punyalah! Tak nak lepas!” Balasnya sambil memetik jari. Aku ketawa besar. Macam haram. “Wudu’ dah angkat?” Tanya Ridhwan, checking buat kali terakhir. Aku mengangguk. Nasib baik aku ada kebolehan menahan diri dari membuang angin. Insya Allah, aku mampu bertahan lama. “Ready mate?” Ridhwan menepuk bahu aku. “Insya Allah!” Songkok di kepala aku betulkan.

“Bismillahirrahmanirrahiim.”

Rosebud says:

Alhamdulillah. Currently I am very much into writing this project. I haven't gotten my hands on Aku Bukan Hana Tajima, masih tak amend lagi (aigooooo ammaaa). Insya Allah akan edit soon. Projek 2 (Hilang) tak siap lagi. tengah writer block. Hopefully one day mencurah idea nak menyambung ya. Insya Allah. Make dua' for me. Thanks guys!

Comments

Popular posts from this blog

Aku bukan Hana Tajima! 52

Shuichi mengurut pelipisnya yang dah rasa macam kena ketuk dengan penukul. Kepalanya kusut. Sungguh dia tak faham dengan tindakan terburu-buru sepupunya itu. Mula-mula katanya tak sanggup nak biarkan Hana bersama mana-mana lelaki terutama sekali teman baiknya ketika belajar di Scotland dulu yakni Khasyi. Tapi beberapa minit kemudian, setelah Hana mengetahui perkara sebenar tentang hubungan mereka berdua, Daim terus mengubah fikiran. Dia merelakan Hana bersama Khasyi. Malah dia nekad tak mahu jumpa gadis itu lagi. Daim mahu pergi. Jauh. “Daim, shinai de. Please don’t do this mate.” Pujuk Shuichi dengan penuh mengharap. Dipandang wajah tegang sepupunya itu lama. Daim menggeleng kepala. “I have to.” Balasnya dingin. (*Shinai de=Jangan buat macam ni ya?) “Kau tak kesian ke kat Hana? Kau tahukan betapa terseksanya dia sekarang? Kau bayangkan kalau kau tak jumpa dia lagi lepas ni, apa akan jadi kat dia? Tolong Daim, jangan ikutkan hati sangat. Please. Kalau kau pergi, takkan s...

Projek 3 : H + A = Bahagian 7

Akira Dia ketawa. Dan aku tak mampu alihkan mata dari terus menikmati kedalaman lesung pipit parentesis yang terbenam di kedua belah pipinya. Ya Allah Aki, dia pensyarah kau kot. He’s the bloody Sir McGrumpy! Takkan ada spark kat mamat grumpy ni kot? Aku menarik getah rambut dan membiarkan rambut aku mengurai melepasi bahu. Dalam kelas tadi, seperti dijangka, dari Hadi the busker , dia berubah jadi Sir McGrumpy . Dan aku berdengus meluat. Satu kelas kena soal, kena maki dan kena jentik kepala. Dan kali ni dia bagi soalan mencabar keimanan. Can fish have a fever? Kepala bana dia tanya soalan KBAT macam ni. Apa kena mengena ikan demam dengan biomolekular? Dan markahnya 30 markah! Wargh betul rasa nak nangis. Lagi seronok, dia suruh hantar esok pagi pukul 7 tepat di pigeon hole dia. Kepala berjambul betul la. Haru dapat pensyarah zalim macam ni. Sejurus selepas dia bagi assignment gila ni, sempat dia menghantar pandangan ‘kata-aku-SirMcGrumpy-lagikan-sekarang-rasakan!’ ke arah...

Aku bukan Hana Tajima! 54

Tok tok. “Akak, sorry kacau.” Wajah Adibah muncul di sebalik muka pintu. Hana mendongak. Jarinya berhenti menekan papan kekunci laptop. “Ada apa Dibah?” Matanya menjamah wajah sentiasa ceria pekerjanya itu. “Akak busy ke? Dibah masuk boleh?” Tanya Adibah sambil memberi isyarat mahu masuk ke dalam pejabat Hana yang terletak di antara ruang depan kedai dan dapur. Nada suaranya seperti nursery rhymes , naik turun oktafnya, berirama. “Ya busy. Kenapa Dibah?” Mata Hana mencerun memerhatikan langkah selamba remaja itu yang terus masuk dan duduk di sofa sambil menepuk-nepuk ruang di sisinya, menyuruh Hana duduk sekali. “Duduklah sini kak. Hal penting ni nak cakap.” Pinta remaja itu. Hana menjungkit sebelah kening. Perasaan ragu-ragu membuak-buak dalam hatinya. Yelah, Adibah ni bukan boleh percaya sangat. Datang mental dia, jenuh nak melayan. “Nak minta cuti ke?” Duga Hana sambil melangkah ke arah remaja itu. Adibah menggeleng kepala. “Hish ke situ pula akak ni...